Thursday, September 2, 2010

Mentera Rumah Pusaka















jadilah penunggu hutan
pada sebatang buluh kuning kau ku lepaskan
jangan pergi ke mana-mana
kekallah di kolam ini
sempadannya gigi air dan tanah
mudarat bagi yang mengambil air dan pusaka mu
kecuali yang bertungging meminum mu dengan lidah.

akulah pawang penunduk mu
izinkan aku minta sepohon kayu mu hutan
aku mau
merbau berhantu
tualang langkau awan
chengal tiga sekawan
petaling, kulim, lenggadai untuk rumah ibu
balau, giam, damar laut, mersawa, sepetir dan teruntum
perah, punah, meranti, melembu dan kapur
belian buat tiang dua belas dan tulang perabung
kekisi anjung dari geronggang
tiang seri berpuaka berkain lima warna dari mengkulang tunggal
dapur berlantai bakau minyak berpaku kayu
penunggu jahat tinggallah dengar perintah ku
aku cuma mahu pokok kayu.

wahai rumah berpanggung
bertiang seri merbau
bertiang tongkat rengas
tiang panjang dan gantung berasal sena dan nangka
tegak dan berdirilah dengan restu ku
wahai bumbung rumah
ukir kerawanglah tebar layar
cucur atap berukir bunga lawang
kuda-kuda, gulung-gulung, kayu penindih kasau betina
bertumpu kasau berkayu naga
tutup tiang berlapik kain tiga warna berbucu lima
berdinding bertam, nipah dan enau
rumbia tua, lindunglah
dari panas sezaman
dari hujan seusia pusaka.
berhias berukirlah wahai rumah pusaka
kelarai bunga pada jenang kemuning
kelarai tampok manggis pada jendela dan dinding
kelarai siku keluang pada meleh dan cucuran atap
kelarai rasuk kerbau pada papan kembung
kelarai piling berganda pada papan layang
kelarai akar selusuh pada papan kepala cicak
kelarai mas surai pada papan jerjak
berhias megahlah
bersangga ribut tualang condong ke barat
bersangga pusaka sezaman bersendi kudrat.


-tseni sastrowardoyo.//020910.//0415pm
puncak alam.
All Rights Reserved.tseni2010.

No comments:

Post a Comment